Saturday, November 13, 2010

Luas pemandangan, jauh perjalanan. Ke terbalik ?

Kadangkala kita perlukan sesuatu untuk mendorong kita untuk bergerak. Macam ayat kat atas tu kira boleh pakai juga kan. Bila pemandangan kita luas mesti timbul perasaan ingin meneroka apa yang dipandang tu. Ini pendapat aku saja. Tak semestinya salah, tak semestinya betul.

Kebelakangan ni aku banyak habiskan masa di Chocolate Chunk. Di sana serupa satu tempat yang beri semangat untuk aku. Salah satu pemberi semangat ialah makanan. Banyak ilham aku dapat. Dan aku dapat rasa lebih kebebasan untuk mengekspresikan diri aku.

Aku memang mudah untuk berasa bosan dan terikat dengan sesuatu. Tidak kira sama ada ia barang atau seseorang. Hakikatnya, aku takkan pernah kekal statik untuk satu jangkamasa lama.

Hubungan serius aku semuanya hanya kekal untuk setahun. Dan pada setiap kali aku mencari alasan untuk meninggalkan hubungan tu. Dan tidak satu pun alasan yang aku cari menuding pada aku. Sejujurnya, aku berasa bosan dengan keadaan. Dan aku lepaskan pada mereka yang tak tahu apa-apa.

Telefon bimbit pula aku tak pernah gunakan lebih daripada 3 tahun. Tapi cuma satu terkecuali. Telefon Sony Ericsson W910i yang aku beli menggunakan duit gaji bulan terakhir semasa aku bekerja sambilan cuti semester 3 bulan dulu. Telefon tu saja yang melekat dengan aku, walaupun aku sudah beralih arah kepada telefon lain. Rasa lain untuk aku lepaskan telefon tu.

Aku risau masa depan nanti. Aku sama seperti orang lain yang impikan sebuah perkahwinan yang berkekalan hingga ke akhir hayat dengan satu-satunya pasangan yang dicintai. 

Kosong. Kosong. Kosong. Satu lubang kosong mendiami diri. Dah cuba dah isikan lubang tu tapi tak lama kemudian ia kembali kosong.

Satu tapak satu masa. Aku yakin dapat isi lubang kosong tu. Sampai masa nanti hilang juga. =)
.

Tuesday, November 9, 2010

Kita pengambil. Itu yang kita buat untuk hidup. Kita ambil.

Dah lama tak pergi tengok wayang, akhirnya ada juga kesempatan untuk pergi. Dan aku rasa sangat gembira !

Jalan cerita memang cliche. Plan plan, rompak rompak, lari lari, member tikam belakang, polis siasat, polis kejar, habis cerita. Tapi bagi cerita ni, uniknya........eh tak ada yang unik. Cuma yang best sinematografi dan pelakon-pelakon yang HOT dan AWESOME. Aku perempuan, biasalah.

Kalau ada sequel harap cepat sikit lah keluar. Kerana cerita ni takkan lekat lama sangat. Mungkin sebelum musim panas tahun depan orang dah mula lupa dan tak berminat lagi. 



Saturday, November 6, 2010

Projek Mega (bukan bangunan 100 tingkat)



Setelah lama sangat dalam mode cuti, tiba saja satu tahap aku akan rasa seperti terperangkap. Aku perlu untuk melihat dunia luar. Hanya perlu duduk dalam kereta, jalankan ia dan nikmati pemandangan berlatarbelakangkan muzik dari corong radio. Ya, aku bukanlah seorang yang terlalu bersosial dengan manusia. 

Bila rasa terperangkap yang diperlukan hanyalah udara dan pemandangan yang berubah-ubah. Tak semestinya perlu disertakan sekali dengan manusia dan perbualan.

Keinginan untuk meneruskan projek tu datang kembali. Aku cuma perlukan dana untuk memastikan projek berjalan lancar. 

Tidak, bukan final year project.

Projek ambil gambar menggunakan anakandaku, Ayano. Gambar-gambar yang diambil akan dipaparkan di dinding bilik aku tak lama lagi. Maka, dengan ini Abah dapat menjimatkan wang dan tak perlu membeli wallpaper untuk menampal dinding putih yang suci lagi bersih itu.

Namun, projek ini hanya akan berjalan sekiranya aku dapat kelulusan daripada MBF (Mak Bapak Fnance) untuk membeli Diana 35mm back yang berharga RM195 (tidak termasuk caj penghantaran).

Doakan.
.

Thursday, November 4, 2010

Kalau bosan kita isi masa dengan benda berfaedah (ke?).

Baru beberapa bulan aku tukar layout blog ni tapi aku dah mula rasa mual tengok. Aku tukar sikit lah background dengan header tu. Kasi fresh sikit rupa.

Oleh kerana aku ada banyak masa terluang, aku dah buat akaun Tumblr. Di situ adalah tempat untuk aku melihat benda-benda yang boleh membawa kegembiraan dan aku kongsi dengan followers (kalau ada yang sudi). Nanti kalau dah mula kelas tak tahu la sama ada boleh update lagi ke tak. Harap aku dapat luangkan sikit masa untuk tengok benda-benda yang happy. Asyik nak depress je tak sihat pula kan ?

Jadi, kalau kamu sudi untuk melihat sila klik Chocolate Chunk
.

9 Bulan Pertama.



Siapalah kita jika dibandingkan dengan wanita-wanita yang telah melalui fasa ni. Walau apapun yang kita buat takkan dapat dikira sama taraf dengan mereka. Mereka yang pertama dan akan kekal pertama sehingga akhir zaman.

Aku rasa video ni sangat sesuai ditontoni oleh anak-anak yang buat salah kepada ibu mereka. Lepas tengok video ni mesti ego mereka runtuh dan mereka akan sedar bahawa tiada apa yang penting dalam dunia ni melainkan ibu kita.

Cuma kadang-kadang untuk menzahirkan perasaan tersebut sangat susah kerana tak pernah di didik untuk meluahkan perasaan melalui kata-kata. Mungkin tak terlewat lagi untuk belajar. Hmmm...

Setiap kali aku tengok video macam ni memang takkan gagal untuk menjatuhkan airmata. Kalau nak tengok aku menangis tunjuk je lah video yang macam ni. Confirm !

Aku sangat kagum dengan kuasa Allah. Dari sperma dan ovum yang tak nampak dengan mata kasar, akhirannya ialah seorang bayi. Satu nyawa yang dihasilkan daripada gabungan genetik dan darah daging kita sendiri. Anugerah yang Dia amanahkan pada ibubapa untuk menjaga dan mencorak dengan sebaiknya.
.

Monday, November 1, 2010

Jalan memori

Dahulu, apa yang kau katakan semuanya aku bantah. Apa yang kau lakukan semuanya aku benci. Pendek kata, segala-galanya tentang kau aku menyampah.

Kita selalu tidak sependapat tentang semua perkara. Terutama sekali pendapat kau. Walaupun dalam hati aku mengakui kebenaran pendapat kau, namun aku tetap membangkang hanya kerana kau menyuarakan pendapat itu. Yang pasti, aku hanya mahu kau kelihatan seperti orang bodoh.

Namun, kita tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Tapi aku tahu kau menyimpan dendam terhadap aku. Kau simpan segalanya yang kau rasakan. Semua kau kumpulkan dan kau biar hati dan perasaan kau ditoreh oleh mereka yang mengaku menyayangi kau. Di dalam, diri kau berdarah dan luka itu hanya dibiarkan menjadi parut.

Walaupun hubungan kita tidak selalunya cerah, kau tetap cuba untuk menggembirakan aku. Aku masih ingat hadiah hari jadi yang kau belikan. Dan kerana hadiah tu, setiap tahun aku cuba untuk membuat sesuatu istimewa untuk hari jadi kau, kerana aku sangat terharu dengan pemberian kau walaupun kita seperti anjing dan kucing.

Tidak terlintas di fikiran sesiapa pun bahawa satu hari nanti kau tak sanggup lagi untuk menahan semua perasaan yang kau pendam selama ini. Sejujurnya, aku memang tidak mengambil peduli langsung mengenai diri kau sehingga aku sedar ia sudah terlewat. Dan pada masa itu, diri aku tidak cukup kuat untuk mula dari awal.

Aku mungkin boleh dianggap lebih bertuah dari diri kau yang selalu keseorangan tanpa teman untuk berbicara. Kau membawa diri di luar sana mencari mereka yang boleh mengisi kekosongan. Siapa tahu, mereka yang kau anggap pengisi kekosongan itu telah mengkhianati kepercayaan kau.

Kalau boleh diulang semula, hanya satu yang akan aku betulkan. 
.

Cakap bye itu menyedihkan

Dalam Bahasa Inggeris kita sebut sad, bukan pathetic okay kawan-kawan.

Aku dapat rasakan dunia aku akan hancur dan hidup tidak bermakna lagi jika aku kehilangan salah seorang daripada mereka yang membawa aku ke dunia ni. Serius. Kalau Mak atau Abah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya aku pasti aku takkan dapat bersendirian buat seketika. Walaupun untuk ke tandas.

Selain daripada kenyataan bahawa kedua-dua mereka adalah orang terpenting dalam hidup aku, aku juga tak boleh terima perpisahan. Aku tak suka perpisahan. Aku tak suka berpisah. Aku tak suka dipisahkan.

Dalam setiap cerita yang aku tengok, semua adegan orang berpisah/terpisah aku akan merasakan satu kekosongan dalam diri. Tak kisah lah jika situasi adegan tu memang tak logik atau tiada kena mengena langsung dengan diri aku. Kekosongan tu akan tetap hadir. Pasti hadir. Dan aku akan terganggu buat beberapa ketika sehingga kekosongan tu terisi dengan perkara-perkara yang menyatukan umat manusia. Contohnya, kawan-kawan berkumpul dan berborak, sesi gurau senda bersama keluarga/sahabat, movie best ada kat HBO/Star Movies. 

Aku juga tak suka untuk mengakhirkan satu outing bersama kawan-kawan. Setelah seronok bergembira dan berbual dengan gelak ketawa (atau cacian manja), aku sangat benci untuk balik ke rumah. Okay, keadaan ni hanya berlaku bila aku bersama kawan-kawan yang boleh dipanggil kawan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Mungkin keadaan ni tergolong dalam salah satu kategori penyakit yang hanya boleh didiagnos oleh seorang pakar terapi/psikologi, tapi aku hanya perlu meluahkan pada seseorang.....atau sesuatu. 

Supaya apabila aku betul-betul kehilangan Mak atau Abah akan ada seseorang untuk menjaga aku untuk tidak berasa keseorangan dari segi emosi.
.